Berita Semasa

Lelaki dakwa jadi ‘mangsa keadaan’ dalam kes dua beradik termakan keropok beracun

KULIM – Seorang lelaki mendakwa menjadi mangsa keadaan dalam kes melibatkan kematian dua beradik akibat memakan keropok beracun di kebun yang diusahakannya di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, dekat sini bulan lalu.

Individu berkenaan yang memuat naik hantaran di akaun Facebook ‘Uzair Shafawi’ mendakwa, kedua-dua kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kejadian itu, merupakan mangsa pengabaian keluarga.

“Akulah si pekebun yg ditahan… atas kelalaian mak dan juga penjaga kepada dua mangsa (alfatihah)… aku dok dalam lapan ari… buta ja kena dok dalam… mmg naya ja aku kena,” kongsi individu berkenaan.

Dia mendakwa, dia difitnah oleh oleh keluarga mangsa menyebabkannya ditahan bagi membantu siasatan.

“Aku difitnah disebabkan tok kepada mangsa reka cerita bukan-bukan… Kalau ikut kehendak aku, aku nak saman ja tok kepada budak-budak ney,” kongsi individu itu lagi.

Turun dimuat naik dalam hantaran sama, satu video di mana individu tersebut menunjukkan lokasi dipercayai di mana keropok beracun dijadikan umpan itu diletakkan.

Dia mengaku menggunakan umpan sedemikian untuk memerangkap kera yang mengganggu tanamannya, namun menjelaskan, adalah tidak lojik bagi kanak-kanak berusia dua atau tahun untuk mencapainya kerana ia diletakkan di tempat tinggi.

“Kalau sesiapa nak tahu perkara sebenarnya macam mana, boleh datang ke rumah aku di Kampung Padang Ubi, Labu Besar (di sini)… dan aku tunjukkan perkara sebenar terjadi,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada 7 Julai lepas, dua beradik dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas didakwa termakan keropok yang mengandungi racun tikus.

Mangsa pertama meninggal dunia pada 10 Julai, manakala mangsa kedua iaitu adiknya pula, meninggal dunia pada 12 Julai.

Susulan kejadian, seorang pekebun ditahan reman sejak 11 Julai bagi membantu siasatan.

Dia kemudiannya dibebaskan pada 18 Julai setelah tempoh reman ke atasnya tamat.

Show More

Related Articles

Back to top button