Jenazah Allahyarham Cikgu Istiqomah diserah kepada keluarga esok
MELAKA – Jenazah Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, akan diserahkan kepada keluarganya esok.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Ashari Abu Samah berkata, jenazah guru wanita yang dibunuh kejam dan mayatnya ditemukan dalam keadaan tragis di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah itu akan diserahkan pada pukul 2 petang esok.
“Untuk makluman, jenazah Cikgu Istiqomah boleh serah esok (kepada keluarga) pukul 2 petang di Hospital Melaka,” katanya ringkas, hari ini.
Laporan media pada 6 Januari lepas menyebut mengenai penemuan jasad wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki di dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang.
Lapan bulan kemudian iaitu pada 12 Ogos lepas, jasad tersebut disahkan sebagai Istiqomah yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.
Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berumur 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.