Pengundi DUN Nenggiri pilih wakil rakyat baharu hari ini
GUA MUSANG – Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK), di sini, hari ini.
Dijangkakan, seramai 20,216 pengundi akan keluar mengundi hari ini dengan 20 pusat mengundi serta 46 saluran telah dibuka seawal jam 8 pagi.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua calon dijadualkan akan mengundi di pusat mengundi yang sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.
PRK DUN Nenggiri diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.