Berita SemasaPM X

Golongan muda jangan jadi alat pelampau agama, perkauman – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan muda agar berpegang kepada semangat aktivisma dan idealisma yang berpaksikan keadilan, kebebasan dan kemanusiaan.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam dan Pembukaan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE) di ibu negara malam tadi, yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau menegaskan anak muda tidak seharusnya menjadi alat kepada mana-mana pihak terutamanya kumpulan perkauman dan pelampau agama.

“Pegangan ini penting bagi memastikan anak muda tidak menjadi tunggangan mana-mana pihak, khususnya kumpulan perkauman dan pelampau agama,” katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menggesa anak muda supaya tampil ke hadapan dalam mendepani pelbagai cabaran semasa, termasuk isu kemiskinan, fahaman sempit, perkauman, perubahan iklim, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).

“Anak muda tidak boleh sekadar membiarkan pemimpin menyelesaikan masalah ini, tatkala ramai yang diberi amanah menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni, sedangkan rakyat terus bergelut dalam kemiskinan tegar dan hidup melarat,” tegasnya.

Anwar turut menyeru anak muda agar bangkit bersuara dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan, penderitaan rakyat miskin, kemusnahan alam sekitar serta rasuah yang merosakkan moral dan negara.

Dalam majlis yang sama, Anwar juga sempat menyelitkan petikan puisi “Splendour in the Grass” karya William Wordsworth sebagai peringatan kepada mahasiswa untuk menggunakan usia muda mereka bagi memperjuangkan idealisme.

“Puisi ini juga pernah saya kirimkan kepada Azizah suatu ketika dahulu,” katanya lagi.

Acara itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melibatkan golongan muda dalam membentuk masa depan negara, selaras dengan visi Malaysia Madani yang turut dihadiri lebih 1,000 mahasiswa Malaysia serta peserta dari 46 negara.

Show More

Related Articles

Back to top button