PM X

PM mahu kelulusan permohonan perniagaan dipercepat, namun jangan kompromi peraturan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kelulusan perniagaan di negara ini dipercepatkan bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelabur.

Perdana Menteri walau bagaimanapun, berkata, kelulusan tersebut harus mengambil kira peraturan yang telah dikuatkuasakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Semua pihak membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta PBT harus meningkatkan kepantasan memberi kelulusan tanpa berkompromi dengan peraturan berkuatkuasa bagi menjadikan Malaysia tumpuan para pelabur dalam rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-45, iaitu platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, Kerajaan Madani akan terus memperkasa agenda bagi memudahcara perniagaan.

“InsyaAllah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik,” ujar Perdana Menteri.

Show More

Related Articles

Back to top button