Peningkatan mendadak warga China beri kesan terhadap isu miskin bandar
KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak warga China di Kuala Lumpur bakal memperlihatkan kesan yang amat ketara kepada isu miskin bandar, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Menurut Pengerusi Gabungan NGO Belia Islam Malaysia, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, kemasukan lebih ramai warga China akan meningkatkan lagi kos pembelian rumah, kenaikan mendadak kepada harga hartanah, peningkatan kadar kepadatan penduduk.
Selain itu katanya, persaingan dalam mencari peluang pekerjaan juga akan meningkat, di samping akses perkhidmatan sosial semakin mencabar.
Katanya, kumpulan tertentu daripada China yang mempunyai modal yang besar serta penguasaan perniagaan ke atas pasaran-pasaran tertentu juga akan mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi dalam negara dan membawa jurang ekonomi antara kaum yang semakin parah.
“Persoalan yang paling besar ialah, ke mana hala tuju negara dalam isu ini? Adakah pertambahan warga asing khususnya rakyat China akan dibiarkan berlarutan sehingga tiada lagi ruang untuk berpatah balik atau memperbetulkan keadaan? Adakah Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan pada bulan ini akan dibiarkan hilang jati diri serta identiti asalnya kelak?,” soalnya dalam satu kenyataan.
Muhammad Faizzuddin yang juga Sekretariat Belia Gerakan Pembela Ummah berkata,
bagi sesebuah negara demokrasi, rakyat akan menjadi penentu kepada hala tuju negara.
Jelasnya, sekiranya dasar umum negara berkenaan kerakyatan Malaysia terdedah kepada mana-mana bentuk manipulasi sistem, tidak mustahil Malaysia akan menjadi negara yang terhakis serta musnah identiti asalnya pada masa akan datang.
“Kami berharap, agar semua pihak termasuk pembuat dasar dalam kerajaan, pelaksana dasar, ahli legislatif, penggerak NGO dan tokoh masyarakat dapat melihat perkara dan isu ini dengan serius kerana impaknya pada masa hadapan ama-amat membimbangkan,” ujarnya lagi.
Pada Mac lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, rakyat China adalah pemegang pas aktif Malaysia My Second Home (MM2H) tertinggi, iaitu seramai 24,765 orang manakal diikuti dengan warga Taiwan sebanyak lebih 1,000 .
Selain itu, pada tahun 2022, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaporkan lebih 1.2 juta pelancong China tidak keluar Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 dengan segelintir daripadanya direkodkan berkahwin dengan warga tempatan.