MFL adakan kunjungan hormat ke polis IPKL
KUALA LUMPUR – Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Kunjungan ini sebagai tanda penghargaan MFL kepada Polis Kuala Lumpur atas bantuan besar dalam memastikan kelancaran perlawanan Liga Malaysia, termasuk pengelolaan perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA sebelum ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Pertemuan berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mohd Razali Mohd Idrus.
Ab Ghani turut menyampaikan taklimat berkenaan pengelolaan perlawanan akhir Piala FA 2024-2025 yang dijadualkan berlangsung di SNBJ pada 24 Ogos 2024.
“Perlawanan ini akan menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor FC manakala Polis Kuala Lumpur akan bertindak sebagai penyelaras utama dalam kawalan keselamatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook MFL hari ini.
Sementara itu, Rusdi memberi jaminan bahawa pasukan Polis Kuala Lumpur telah bersiap sedia menghadapi perlawanan akhir itu dengan menempatkan seramai 2,228 anggota bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, serta kelancaran aliran trafik di sekitar stadium.
MFL dan Ab Ghani turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Rusdi dan semua anggota polis yang telah membuat persiapan awal bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan penyokong yang hadir ke stadium berada pada tahap terbaik.