Berita Semasa

40 warga Palestin dipindahkan dari Mesir ke Malaysia untuk terima rawatan

KUALA LUMPUR – Seramai 40 warga Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir ke Malaysia mendapatkan rawatan.

Laporan BERNAMA menyebut, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Nasr sebagai berkata, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa kesemua pesakit berkenaan dijadualkan tiba di Malaysia pada pagi Jumaat.

“Mereka akan menerima rawatan di hospital-hospital yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

Difahamkan, warga Palestin yang diterbangkan itu mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.

Nasr berkata, pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia itu dibuat atas arahan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini adalah usaha yang diselaraskan melibatkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar,” katanya sambil memberi jaminan komitmen untuk meneruskan usaha mereka dengan kerjasama Malaysia.

Pada 4 Ogos lepas, Datuk Seri Anwar mengumumkan bahawa Malaysia akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button