Jenayah & Mahkamah

Jasad wanita tanpa kepala, kaki dan tangan disahkan milik guru

ALOR GAJAH – Jasad wanita dipercayai dibunuh kejam dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat ke dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini, 31 Disember lalu disahkan milik guru, Istiqomah Mohd Rozi, 33.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pengesahan itu dibuat hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan 2 Ogos lalu ke atas ibu seorang wanita yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember tahun lalu, didapati sepadan dengan jasad ditemukan.

“Hasil risikan, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa dan isterinya berusia 36 tahun di Chemor, Perak.

“Siasatan terhadap kedua-duanya kemudian membawa penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa iaitu tulang jari dan kepala kira-kira enam kilometer dari tempat pertama mayat mangsa ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, permohonan reman pertama kedua-dua suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Suspek lelaki bagaimanapun disambung reman hari ini manakala isterinya telah dibebaskan mahkamah pagi ini kerana tidak terlibat dalam pembunuhan mangsa yang mempunyai tiga anak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden Norehan Omar di talian 010-4064003,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut mengenai penemuan mayat tanpa pakaian oleh orang awam pada kira-kira pukul 2 petang pada 31 Disember lepas.

Jasad tersebut ditemukan dengan hanya beralaskan kain merah selain kepala, kedua belah kaki hingga ke paras lutut dan tangan dipercayai telah dipotong.

Show More

Related Articles

Back to top button