Todak Digital Creators Competition: Game Jam cungkil bakat muda hasilkan permainan video sendiri
CYBERJAYA – Seramai 20 finalis berentap bagi merebut gelaran juara dalam pertandingan peringkat akhir Todak Digital Creators: Game Jam iaitu pertandingan mencipta permainan video anjuran Todak Academy di sini, hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy Sdn Bhd, Taufik Rizal Aminuddin, pertandingan itu membawa kelainan apabila menampilkan peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah.
Beliau berkata, Todak Academy telah menerima lebih 120 penyertaan bagi pertandingan itu, namun hanya 20 finalis dengan 10 peserta masing-masing bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah telah dipilih.
“Petandingan ini menjadi platform pertandingan untuk bakat-bakat muda menyertai program pembelajaran berasaskan permainan atau ‘game based learning untuk mencipta dan mempersembahkan hasil permainan video ciptaan mereka sendiri melalui platform Microsoft MakeCode Arcade.
“Pertandingan ini juga mengetengahkan proses pengaturcaraan dan pengekodan ringkas ini akan membantu meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif para pelajar dan seterusnya membantu pemerkasaan kemahiran digital di kalangan pelajar-pelajar,” katanya.
Terdahulu, Taufik Rizal menyampaikan hadiah buat para pemenang Todak Digital Creators: Game Jam di Cyberjaya hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Aminuddin Hassim serta bekas Senator Dewan Negara, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim.
Harresh Morthi, 16, muncul juara bagi kategori sekolah menengah, manakala kategori sekolah pula dimenangi oleh Anas Malik Ahmad Munawar, 8.
Kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000, trofi kemenangan, pingat serta sijil penyertaan.
Sebagai rekod, pertandingan ini telah mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan telah dinilai oleh juri daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Kementerian Pendidikan Malaysia, Todak Studios dan Todak Academy.