Berita SemasaLuar Negara

Gencatan senjata di Gaza, Malaysia sokong kenyataan AS, Mesir, Qatar

PUTRAJAYA – Kerajaan mengalu-alukan kenyataan bersama oleh pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 8 Ogos, menggariskan keperluan segera untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dan untuk membawa bantuan segera kepada penduduk Gaza.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, Malaysia menyokong rundingan damai yang sedang dijalankan dengan pengantaraan AS, Mesir dan Qatar berharap perbincangan yang akan diadakan pada 15 Ogos akan membuahkan hasil positif dan menyelesaikan konflik yang semakin meruncing.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk terus fokus, komited dan menghormati proses keamanan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kementerian Luar berkata secara prinsip, Malaysia sentiasa memperjuangkan keamanan dan kestabilan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.

“Kami sekali lagi menuntut agar pembunuhan dan kekejaman dihentikan, gencatan senjata segera dan kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza, dan Palestin diterima sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut mengulangi bahawa sokongan teguh dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin kekal tidak berbelah bahagi, termasuk terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Show More

Related Articles

Back to top button