Berita SemasaPolitik

Dakwa DAP kafir harbi: PH buat laporan polis

GUA MUSANG – Ketua Pemuda DAP Gua Musang, Nor Amin Shafiq Ismail bersama pimpinan Pemuda Harapan Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung satu insiden yang berlaku semasa ceramah PAS/Perikatan Nasional di Nenggiri, yang kini tular di media sosial.

Menurut Nor Amin, dalam video tersebut, seorang individu bernama Zamri Zahari, yang merupakan anggota PAS Bachok, telah membuat kenyataan yang mendakwa DAP sebagai ‘kafir harbi’ dan merancang untuk menguasai Malaysia dengan bantuan sebahagian pemimpin UMNO.

“Kenyataan ini jelas satu tindakan politik yang boleh merosakkan perpaduan serta mengancam keharmonian negara yang dibina atas dasar toleransi dan hormat-menghormati,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan berbahaya kerana menggunakan agama sebagai alat politik, yang dilarang dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Tambahnya, kenyataan seperti ini juga berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan antara rakyat berbilang agama dan bangsa.

Susulan itu, Pemuda Harapan menggesa pihak polis menyiasat kenyataan tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan atas alasan agama.

Nor Amin juga meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk memastikan politik kebencian tidak terus berleluasa di negara ini.

Beliau turut menyeru semua pimpinan anak muda dari pelbagai parti untuk mengecam kenyataan berkenaan dan membuat laporan polis bagi memastikan tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan tegas untuk menangani isu ini demi menjaga keharmonian dan perpaduan negara,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button