Jenayah & Mahkamah

Polis tahan pemain bola sepak dipercayai bawa senjata tajam ke dalam padang

KUALA LUMPUR – Pihak polis semalam menahan pemain bola sepak amatur yang dipercayai mengacukan objek tajam dalam insiden perselisihan semasa perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun pada pukul 6.30 petang semalam.

Tambahnya, penahanan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang, Selangor.

“Hasil siasatan, suspek mengaku mengeluarkan senjata tajam iaitu kerambit bagi mempertahankan diri dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek lelaki direman empat hari bermula hari ini sehingga 12 Ogos ini, manakala teman wanitanya ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigeresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.

Terdahulu, media melaporkan kes tular seorang pemain sebuah pasukan amatur kelihatan menggunakan objek tajam menyerupai kerambit dalam pergaduhan dipercayai semasa satu perlawanan liga sosial.

Dalam hantaran tular berkenaan, kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah malam membabitkan seorang pemain yang memakai jersi bernombor 7 dari sebuah pasukan amatur.

Susulan kejadian itu, polis mengesan pemain terbabit bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button