Muhammad Yunus, 17 anggota kerajaan peralihan angkat sumpah
DHAKA – Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengangkat sumpah jawatan untuk mengetuai kerajaan peralihan Bangladesh, semalam.
Laporan agensi Anadolu menyebut, upacara angkat sumpah Muhammad Yunus dan 17 lagi anggota kerajaan peralihan tersebut dilakukan di hadapan Presiden Mohammed Shahabuddin di pejabatnya di ibu negara Dhaka.
Jawatan ketua kerajaan peralihan secara rasmi dipanggil “ketua penasihat”.
Kebanyakan anggota kerajaan peralihan itu adalah ahli teknokrat, termasuk dua anggota kumpulan pelajar yang mengetuai protes yang memaksa Hasina meletak jawatan dan melarikan diri dari Bangladesh, awal minggu lalu.
Ketua angkatan tentera, Jeneral Waker-Uz-Zaman telah mengumumkan pembentukan kerajaan peralihan selepas Hasina melarikan diri ke India, di mana beliau berada sekarang.
Yunus berada di Perancis ketika pengumuman itu dibuat, dan kembali ke Dhaka, semalam.
“Bangladesh telah memulakan hari kemenangan baharu. Kita perlu meneruskan. Kami berterima kasih kepada mereka yang melakukannya, mereka (pelajar) menyelamatkan negara,” kata Yunus selepas mendarat di Dhaka.
Bangladesh telah menyaksikan protes pelajar berskala besar sejak Julai menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam yang kontroversi yang membunuh lebih 400 orang.
Shahabuddin membubarkan parlimen pada Selasa yang dipilih pada Januari apabila Hasina dipilih sebagai perdana menteri buat kali keempat.
Pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut pilihan raya kebangsaan dalam tempoh tiga bulan untuk menyerahkan kuasa kepada wakil rakyat.