Rusia bekal sistem pertahanan udara kepada Iran – NYT
NEW YORK – Rusia dilaporkan sudah menghantar sistem pertahanan udara ke Iran ketika Tehran meningkatkan persiapan ‘berperang’ dengan Israel ekoran pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Laporan The New York Times menyebut, sumber daripada anggota ketenteraan Iran memaklumkan bahawa Rusia telah mula menghantar radar canggih dan peralatan pertahanan udara.
Sebelum ini, media Iran melaporkan, Tehran memohon sistem pertahanan udara dan dua pegawai Iran yang bercakap kepada The New York Times mengesahkan permohonan itu yang menyusuli lawatan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Sergei Shoigu, ke Tehran, kelmarin.
Difahamkan, antara sistem yang sudah dibekalkan termasuk peluru berpandu balistik Iskander dan sistem pertahanan udara Murmansk-BN.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam pertemuan dengan Shoigu tersebut turut mengecam tindakan jenayah dilakukan Israel terhadap rakyat Gaza yang tertindas dan tidak berdaya serta pembunuhan Haniyeh pada Rabu minggu lalu.
“Republik Islam Iran sama sekali tidak berusaha untuk meluaskan skop perang dan krisis di rantau ini, tetapi rejim ini (Israel) pasti akan menerima balasan atas jenayah dan keangkuhannya,” kata Pezeshkian yang dipetik sebagai berkata oleh media negara Iran.
Moscow juga mengecam pembunuhan Haniyeh yang berkhidmat sebagai pemimpin politik Hamas.