Rusia guna sistem peluru berpandu baharu bedil Ukraine
NEW YORK – Rusia dilaporkan menggunakan sistem peluru berpandu terbaharunya dalam serangan ke atas bandar Dnipro, Ukraine, awal pagi semalam.
Senjata misteri yang digunakan dalam serangan itu pada mulanya dikatakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), sebenarnya satu sistem baharu iaitu peluru berpandu balistik jarak pertengahan (IRBM).
Perbezaan di antara keduanya adalah jarak jangkauan, yang mana ICBM mempunyai keupayaan untuk menjangkau jarak lebih 3,400 batu (5,471.8 kilometer), manakala keupayaan IRBM adalah tidak melebihi jangkauan tersebut, lapor New York Times.
Para pakar senjata barat menganggarkan sistem yang dinamakan Oreshnik bermaksud ‘pokok hazelnut’ itu merupakan satu varian peluru berpandu RS-26.
Bagaimanapun, bergantung pada sudut pelancarannya, RS-26 mampu sedikit melangkaui 3,400 batu, namun, pengoperasiannya pada keadaan ideal menjadikannya lebih sesuai sebagai IRBM dengan jarak kurang daripada 3,400 batu.
IRBM Oreshnik dianggarkan dikuasakan dengan bahan bakar padat seberat 40 tan, dan mampu membawa antara enam hingga lapan kepala peledak dengan sasaran bebas berganda (MIRV) konvensional dan nuklear.