Karam Singh Walia kini berhadapan masalah kesihatan membimbangkan
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada tokoh wartawan terkenal, Datuk Karam Singh Walia kini berhadapan dengan masalah kesihatan yang membimbangkan.
Menurut Perdana Menteri, tokoh kewartawanan alam sekitar yang terkenal dengan penggunaan peribahasa langka itu didiagnosis menghidap penyakit hati dan masalah buah pinggang.
“Semalam, Setiausaha Politik, Farhan Fauzi telah mewakili saya menziarahi Karam Singh, tokoh kewartawanan alam sekitar yang terkenal dengan penggunaan peribahasa langka.
“Saya dimaklumkan keadaan kesihatan saudara Karam Singh kini membimbangkan selepas beliau menghidap penyakit hati dan masalah buah pinggang.
“Selain berbicara panjang terkait pengalamannya membongkar kebobrokan petualang memusnahkan alam sekitar, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan bagi pihak saya kepada saudara Karam Singh,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.
Dalam pada itu Anwar berharap sumbanganna itu dapat meringankan beban kos perubatan yang ditanggung beliau.
“Saya mendoakan semoga saudara Karam Singh segera sembuh dan dapat mendidik anak-anak muda terkait kepentingan alam sekitar,” katanya.