Meta mohon maaf turunkan hantaran PM Anwar
Hantaran dikembalikan dengan 'label berita yang sahih'
CYBERJAYA – Meta Platforms hari ini memohon maaf kerana menurunkan hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada akaun Facebook dan Instagram miliknya yang berkaitan dengan pembunuhan pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh minggu lalu.
Laporan Reuters menyebut, kandungan tersebut telah dikembalikan dengan “label berita yang sahih’, kata jurucakap Meta kepada Reuters dalam satu kenyataan.
“Kami ingin memohon maaf di atas ‘ralat operasi’ di mana hantaran di Facebook dan Instagram Perdana Menteri diturunkan.
“(Untuk makluman) Hantaran tersebut sudah dikembalikan dengan label berita yang sahih,” kata jurucakap Meta dalam kenyataan itu.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengadakan pertemuan dengan wakil Meta bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu penurunan hantaran tersebut.
PMO pada masa yang sama turut memaklumkan bahawa tindakan penurunan itu adalah satu bentuk diskriminasi, sikap tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan, dan merupakan penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin yang menuntut keadilan dan hak asasi manusia.