Bisnes & Ekonomi

MyInvois: LHDN saran sentiasa bersihkan cache pelayar secara berkala

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyarankan kepada pengguna yang menghadapi kesukaran untuk mengakses kepada sistem MyInvois supaya sentiasa membersihkan cache pelayar secara berkala.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, pengguna juga perlu log masuk semula kepada sistem MyInvois.

“Berdasarkan laporan media dan aduan yang diterima, terdapat pengguna yang masih menghadapi kesukaran untuk mengakses kepada sistem MyInvois.

“Untuk mengatasi masalah ini, pihak LHDN menyarankan pengguna untuk log masuk semula kepada sistem MyInvois dan sentiasa membersihkan cache pelayar secara berkala.

“Demi memastikan agenda nasional kerajaan ini direalisasikan, LHDN optimis dalam memastikan persiapan pelaksanaan e-Invois berlangsung dengan sebaik mungkin sekali gus meletakkan platform e-Invois ini kekal sebagai pemacu utama sistem percukaian negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, sehingga jam 12 tengah hari tadi rekod penerimaan e-invois menunjukkan jumlah penghantaran yang berjaya telah mencecah kepada 520,000 dan sistem MyInvois tersedia untuk digunakan oleh para pengguna.

Katanya, pihaknya juga komited untuk memberikan sokongan berterusan dan
menangani apa-apa kebimbangan yang mungkin timbul semasa tempoh peralihan kepada sistem MyInvois.

Pelaksanaan e-Invois secara mandatori bagi syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula pada hari ini

Langkah itu menandakan era baharu dalam usaha mendigital dan memperkasa sistem percukaian negara.

 

Show More

Related Articles

Back to top button