Aksi penembak Turkiye di Olimpik curi tumpuan
PARIS – Aksi penembak dari Turkiye, Yusuf Dikec mencetuskan ‘kontroversi’ selepas gambarnya semasa acara pistol udara 10 meter berpasukan campuran di Sukan Olimpik Paris tular di media sosial.
Dikec mencuri tumpuan apabila menyertai pertandingan tanpa memakai peralatan menembak yang biasa, malah dengan satu tangan di dalam poket.
Lebih mengejutkan Dikec dan rakan sepasukannya, Sevval Ilayda Tarhan, berjaya meraih pingat perak dalam pertandingan tersebut.
Kebiasaannya, penembak di Sukan Olimpik akan menggunakan perlindungan telinga dan memakai cermin mata khas yang menutup penglihatan sebelah mata untuk membantu mereka fokus dan kadangkala mempunyai lensa berwarna untuk mengurangkan silau.
Seorang pengguna media sosial di X menulis, “Turki menghantar seorang lelaki berusia 51 tahun tanpa lensa khas, penutup mata atau perlindungan telinga, dan memenangi pingat perak.
Elon Musk turut membalas komentar hantaran tersebut dengan menulis ‘bagus’.
“Saya tahu seorang pembunuh terlatih apabila saya melihatnya,” gurau seorang pengguna lain.
“Adakah Turki menghantar seorang pembunuh ke Olimpik?” tulis seorang lagi pengguna.
Yusuf Dikec merupakan penembak sukan Turki yang bertanding dalam acara pistol. Beliau adalah seorang pegawai bersara Gendarmerie Turki (Polis tentera) dan ahli Kelab Sukan Jandarma Gücü.