RUU Majlis Media: Jawatankuasa protem dalam proses kenal pasti ahi pengasas
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia kini dalam proses untuk mengenal pasti dan memasukkan nama pihak berkaitan sebagai ahli pengasas.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sehubungan itu, kementeriannya telah menghantar semula draf Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia kepada jawatankuasa tersebut untuk proses berkenaan.
Tambahnya, terdapat tiga kategori bagi ahli pengasas dalam Majlis Media Malaysia yang meliputi kategori organisasi media, badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan media dan pengamal media, serta ahli akademik termasuk individu yang aktif dalam isu berkaitan media.
“Berdasarkan senarai yang saya terima daripada Pengerusi Jawatankuasa Protem pada 22 Julai menunjukkan bahawa bagi kategori syarikat media kami sudah ada 15 (syarikat media), untuk kategori rakan media (associate) ada tujuh, pengamal media ada sembilan dan untuk ahli bukan media ada tujuh setakat ini.
“Jadi, sesiapa yang berminat untuk sertai Majlis Media Malaysia sebagai salah seorang ahli pengasas boleh hubungi jawatankuasa protem atau hubungi saya..mereka boleh meneliti draf rang undang-undang dan kalau mereka setuju dengan draf ini, mereka boleh sertai sebagai salah seorang ahli pengasas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyantuni warga kerja Tamil Malar di ibu pejabat akhbar itu, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Nie Ching berkata, sejurus proses itu selesai, draf rang undang-undang berkenaan akan dibawa ke Jemaah Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan kelulusan.
Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bagi membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.
Majlis itu turut berfungsi menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam selain menyokong pembangunan profesional wartawan serta organisasi media.