Israel desak NATO singkir Turkiye
BAITULMAQDIS – Israel mendesak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyingkirkan Turkiye daripada pakatan itu selepas Presiden Tayyip Erdogan memberi amaran akan menceroboh Israel bagi menyelesaikan konflik di Palestin terutamanya di Tebing Gaza.
Laporan Reuters menyebut, desakan itu dibuat Menteri Luar, Israel Katz yang menyifatkan kenyataan Erdogan itu sebagai ancaman untuk mencerobohi atau menyerang Israel serta berbaur retorik yang berbahaya.
“Justeru, Katz mengarahkan diplomat-diplomat untuk segera berhubung dengan semua anggota NATO dan menggesa Turkiye dikecam, sekali gus menuntut ia disingkirkan daripada pakatan serantau itu,” kata Kementerian Luar Israel, semalam.
Kelmarin, Erdogan mengelurkan kenyataan bahawa, “Kita mesti sangat kuat supaya Israel tidak boleh melakukan perkara tidak masuk akal ini terhadap Palestin. Sebagaimana kita memasuki Karabakh, seperti juga kita memasuki Libya, kita berkemungkinan akan melakukan perkara sama terhadap mereka.”
Katz turut berkata, Erdogan sedang mengikut jejak langkah Allahyarham Saddam Hussein (bekas Presiden Iraq) dan mengancam untuk menyerang Israel.
“Beliau harus ingat apa yang berlaku di sana dan bagaimana ia berakhir,” kata Katz dalam kenyataan itu sambil mendakwa Turkiye kini bersekongkol dengan pakatan bersama Iran dan kumpulan pejuang Hamas, Hizbullah serta Houthi di Yaman.