Berita Semasa

KPT pertimbang pelajar dibawa pulang dari Bangladesh sambung pengajian dalam negara

IPOH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan pelajar Malaysia di Bangladesh yang dibawa pulang ke negara ini untuk menamatkan pengajian di Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, bagaimanapun berkata, pihaknya masih meneliti beberapa perkara seperti jenis kursus atau bidang pengajian serta subjek yang diambil, kelayakan, kedudukan, dan sebagainya.

“Yang berada di sini (sudah pulang ke Malaysia) kita sudah pun mengarahkan diambil langkah untuk berjumpa dengan mereka. Kita sudah buat proses kaunseling dan juga sudah mengarahkan supaya berbincang ke mana mereka hendak pergi selepas ini.

“Sekiranya keadaan negara itu sudah kembali aman mungkin ada dalam kalangan mereka akan pulang, atau sebaliknya. Kita akan tengok bagaimana kedudukan mereka pada ketika ini, dan apa pilihan mereka kalau mereka hendak sambung (pengajian) di dalam negara.” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Makan Malam bersempena penganjuran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini malam tadi.

Buat sementara ini, kata Zambry lagi, pihaknya sentiasa memantau erat perkembangan di Bangladesh bersama Wisma Putra sebelum apa juga keputusan berhubungnya dibuat.

“Kita akan tengok sehingga mendapat lampu hijau daripada pihak Wisma Putra seterusnya. Sebab apa pun yang kita hendak lakukan kita kena dapatkan maklum balas daripada Wisma Putra terlebih dahulu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button