Rencana

Whoosh, fenomena terbaharu di Jakarta

Keretapi laju pertama Asia Tenggara mudahkan eksplorasi pelancongan di Jawa Barat

Artikel & Gambar oleh: MOHD HAZLI HASSAN

MENDENGARKAN namanya sahaja sudah tahu bahawa kelajuan yang digembar-gemburkan bukan khayalan semata-mata namun ia adalah realiti bahawa Whoosh di Indonesia merupakan keretapi laju pertama di rantau Asia Tenggara.

Mampu memendekkan perjalanan antara Jakarta dan Bandung, perjalanan antara dua bandar utama Indonesia itu kini semakin mudah dan boleh dinikmati oleh semua orang.

Jika di Jepun terkenal dengan Shinkansen dan ETS di Malaysia, Whoosh di Indonesia merupakan keretapi laju yang mampu mencapai kelajuan sehingga 350 kilometer sejam (km/j).

Selain daripada menunjukkan kelajuan, jenama Whoosh itu sendiri ialah kependekan dari ayat Waktu Hemat, Operasi Optimal, Sistem Hebat (Menjimatkan Masa, Operasi Optimum, Sistem Hebat).

Kehadiran Whoosh yang merupakan kerjasama Indonesia dengan China sebenarnya menguatkan lagi Inisiatif Jalur dan Jalan (Belt Road Initiative – BRI) untuk menghubungkan Asia, Afrika dan Eropah melalui rangkaian darat dan maritim yang bertujuan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Sejak beroperasi buat pertama kalinya pada 2023, Woosh yang beroperasi antara Jakarta dan Bandung, sehingga kini sudah berjaya mengendalikan sekitar 3.5 juta penumpang.

Woosh yang dikendalikan oleh Keretapi Cepat Indonesia-China (KCIC), sebuah konsortium usaha sama antara firma milik Indonesia dan China mampu tiba di Stesen Tegalluar, Bandung hanya kira-kira 45 minit dari Stesen Halim di Jakarta.

Woosh yang beroperasi antara Jakarta dan Bandung, sehingga kini sudah berjaya mengendalikan sekitar 3.5 juta penumpang

Berbanding menggunakan kenderaan biasa yang perlu mengambil masa dari 2 hingga 3 jam itu pun tanpa henti, Whoosh mampu memendekkan perjalanan.

Projek yang menelan belanja AS$7 bilion atau sekitar RM45 bilion itu kini menjadi fenomena terbaharu bagi rakyat Indonesia mahupun bagi pelancong luar.

Dengan 48 perjalanan sehari pergi dan balik Jakarta, Bandung, Whoosh mampu membawa 601 penumpang pada satu-satu masa.

Melihat kejayaan Whoosh Jakarta-Bandung, KCIC sudah pun dalam perancangan untuk menyambung perjalanan dari Bandung ke Surabaya pula.

Dengan jarak yang lebih jauh melebihi 600 kilometer, perkhidmatan Whoosh ke Surabaya kelak akan membolehkan sambungan seluruh bandar besar di kepulauan Jawa menjadi lebih mudah dan cepat.

Pengurus Komunikasi Korporat KCIC, Emir Monti berkata, setiap hari permintaan untuk menggunakan khidmat Whoosh semakin meningkat sehingga 16,000 penumpang.

Emir Monti
Perjalanan antara dua bandar utama Indonesia, Jakarta dan Bandung itu kini semakin mudah dan boleh dinikmati oleh semua orang.

“Kekerapan tren yang kami sediakan ialah setiap 30 minit disebabkan permintaan yang tinggi. Bukan hanya digunakan oleh rakyat tempatan, ia juga kini menjadi tumpuan keada pelancong luar terutama dari Malaysia.

“Ini disebabkan ramai pelancong Malaysia yang tiba dengan kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta di Jakarta boleh meneruskan perjalanan ke Bandung dengan mudah dan cepat berbanding sebelum ini.

“Jadi mereka dalam tempoh sehari boleh tiba di Bandung selepas mendarat untuk meneruskan percutian tanpa perlu berada di Jakarta untuk bermalam,” katanya kepada media Malaysia semasa program pengenalan lokasi pelancongan Jawa Barat oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia Pulau Pinang baru-baru ini.

Menurut Emir lagi, dengan adanya Whoosh, pelancong yang bercuti di Bandung boleh meneroka lebih banyak lokasi percutian menarik di Jawa Barat dan tidak hanya tertumpu di kota yan turut dikenali sebagai Paris di Jawa yang merupakan destinasi pelancongan bukan hanya kepada pelancong luar tetapi kepada penduduk tempatan setiap hari minggu.

Dengan kepadatan sekitar 2.5 juta penduduk, Bandung dilihat sudah terlalu sesak dan pelancong kini mempunyai pilihan untuk menikmati keindahan alam dan lokasi pelancongan menarik lain di Majalengka, Kuningan dan juga Cirebon.

“Jadi, perkhidmatan Whoosh akan memberi peluang kepada pelancong untuk menjimatkan masa perjalanan dari Jakarta agar mereka boleh pula meneroka lokasi pelancongan lain sehingga ke Cirebon yang juga menawarkan pelbagai agenda menarik bagi pelancong.

“Dan untuk memudahkan program percutian, pelancong, terutama dari Malaysia boleh kembali ke negara mereka menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati di Majalengka tanpa perlu kembali ke Jakarta,” tambah Emir.

Sastie Yustia Dewi

Sementara itu, pegawai fungsi utama pelancongan dan ekonomi kreatif, Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Wilayah Jawa Barat, Sastie Yustia Dewi berkata, Bandung yang terkenal dengan pakaian murah, terutama batik dan cenderamata sudah semakin sesak dan pihaknya kini mula mempromosikan lebih banyak lokasi pelancongan lain sekitar Jawa Barat.

Antara yang boleh dilawati katanya ialah kawasan Cirebon Raya yang merangkumi kota Cirebon, daerah Majalengka, daerah Kuningan, daerah Indramayu dan daerah Sumedang yang terkenal dengan pelancongan budaya, keagamaan, masakan dan warisan.

“Ini merupakan strategi kita juga untuk mengurangkan kesesakan pelancong ke Bandung dan Bogor selain memaksimumkan kehadiran pelancong ke lokasi tumpuan utama lain di Jawa Barat.

“Kita mahu pelancong merasai pengalaman baharu di lokasi-lokasi lain di mana dengan pelacongan warisan dan budaya yang ada itu nanti turut disediakan pelbagai bengkel kerja tangan yang boleh dirasai sendiri oleh pelancong,” katanya.

Berbicara mengenai kekhuatiran pelancong mengenai beberapa kejadian letusan gunung berapi di Indonesia, Dewi turut memberitahu bahawa Jawa Barat ketika ini masih selamat dan tidak ada sebarang aktiviti letusan gunung berapi terbaharu.

“Paling terbaharu ialah Disember tahun lalu di mana letusan Gunung Berapi Anak Karakatau yang terletak di Banten sekitar 300 kilometer dari Cirebon. Jadi pelancong tidak perlu khuatir.

“Yang paling hampir ialah Gunung Berapi Ciremai, gunung paling tinggi di Jawa Barat setinggi 3,078 meter yang terletak di tiga daerah namun ia sudah lama tertidur di mana letusan terakhir adalah pada tahun 1937 malah ia kini menjadi lokasi pendakian bagi peminat aktiviti lasak berkenaan,” tambah Dewi.

perkhidmatan Whoosh akan memberi peluang kepada pelancong untuk menjimatkan masa perjalalan.

Show More

Related Articles

Back to top button