Paris 2024: Pearly Tan-M. Thinaah hidupkan semula peluang, tewaskan bekas juara dunia dari Jepun
PARIS – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M.Thinaah membuka semula peluang untuk ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan di ranking keenam dunia dari Jepun, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara 18-21, 21-15, 21-16.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Aréna Porte de La Chapelle sebentar tadi pasangan negara itu dalam misi mencari kemenangan pertama dalam aksi kumpulan A selepas tewas kepada beregu nombor satu dunia dari China semalam.
Pada set pertama Pearly-Thinaah berjaya mendahului perlawanan 11-7 pada satu ketika namun ketenangan yang ditampilkan bekas juara dunia dari Jepun itu membuatkan mereka bangkit semula sekali gus menang set itu dengan keputusan 21-18.
Di set kedua, Pearly-Thinaah menukar strategi dan akhirnya berjaya menang dengan keputusan 21-16.
Di set penentuan, pasangan negara tidak menoleh lagi dan terus mendahului lawan dengan mata yang jauh sebelum menang set ini dengan keputusan 21-15.
Selepas ini, Pearly-Thinaah dijadualkan bertemu beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadanti dalam aksi kumpulan bagi merebut slot ke suku akhir.