Berita Semasa

MMA nyata kebimbangan peningkatan kes keracunan makanan

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes keracunan makanan yang berlaku di seluruh negara.

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, lebih menyedihkan kerana dalam kebanyakan kes melibatkan  kanak-kanak.

“Berdasarkan laporan, kita dapati bahawa kejadian banyak berpunca daripada faktor kebersihan dan pengendalian makanan yang kurang diberi tumpuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan fakta terkumpul, kes-kes keracunan makanan boleh menyebabkan jumlah kemasukan hospital meningkat.

Beliau juga berkata, menurut Jabatan Penyelidikan Statista, pada 2022, terdapat kira-kira 14,293 kes keracunan makanan yang disebabkan oleh penyakit bawaan makanan dan air dilaporkan di Malaysia.

Beliau berkata, jumlah itu direkod semasa wabak, tetapi kes telah meningkat dalam tempoh endemik.

Dr Azizan berkata, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM), kes keracunan makanan kini lebih biasa, dengan 51 kejadian direkodkan bagi setiap 100,000 orang di Malaysia tahun lepas (2023) – lebih dua kali ganda daripada kadar 18.4 kejadian pada 2021.

Beliau berkata, antara bahagian yang paling dibimbangkan persatuan itu ialah pengendalian makanan di negara ini.

“Masakan tempatan kami disenaraikan antara yang terbaik di dunia dari segi penyedaian ia berlaku sebaliknya terutama makanan jalanan.

“Di banyak kedai, makanan disediakan dalam keadaan tidak bersih manakala banyak gerai makanan dan katerer diketahui beroperasi secara haram.

“Apa yang pihak berkuasa lakukan mengenainya?” soal beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button