Berita Semasa

Fahmi Fadzil kecam tindakan Meta turunkan kandungan

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang didakwa menurunkan laporan berita pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di platform media sosial itu.

Fahmi berkata tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini dan akan menuntut penjelasan berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan Perdana Menteri bersama pimpinan sayap politik Hamas baru-baru ini, terdapat tiga (organisasi) media maklumkan kepada pejabat saya bahawa posting mereka, khususnya dalam Meta diturunkan.

“Saya kecam tindakan Meta menurunkan artikel atau posting daripada media, apatah lagi kerana ini adalah laporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan atau ketenteraan,” katanya disini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, Anwar dalam lawatan rasmi ke Qatar turut mengambil kesempatan bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan bekas ketua pergerakan itu, Khaled Masyal.

Pertemuan tertutup lebih sejam itu berlangsung di sebuah hotel di Doha, dengan antara intipatinya berkisar perkembangan konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button