MCPF tolak pandangan SUHAKAM
Hukuman gantung ke atas enam pesalah tepat, setimpal dengan perbuatan mereka
KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) tidak bersetuju dengan bantahan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, pihaknya merasakan tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia lebih-lebih lagi ia dilakukan golongan terpelajar.
“SUHAKAM perlu faham, walaupun kerajaan telah menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh dan pengedaran dadah, namun hakim mempunyai kuasa dan budibicara untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dalam kes-kes tertentu.
“Bagi kes ini, MCPF berpandangan keputusan yang dibuat adalah sebagai tepat dan setimpal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, perbuatan membunuh seseorang secara tidak halal dalam Islam adalah umpama membunuh seluruh umatnya.
“Ini kerana Islam amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam,” katanya lagi.
Sebelum ini, SUHAKAM telah mengeluarkan kenyataan membantah hukuman tersebut, sambil berkata, hukuman gantung yang dijatuhkan tidak memberi peluang kepada pesalah kembali dipulihkan menjadi anggota masyarakat yang berguna.
“(Bagaimanapun) Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan budaya, perundangan dan amalan Barat yang ternyata songsang dengan norma kehidupan manusia.
“Kita bukan seperti mereka. Kita boleh ikut dan bersetuju jika perkara itu sesuai dengan keperluan, masalah dan amalan kita. Kita negara beragama,” katanya lagi.
Beliau kemudiannya turut memberi contoh, sebahagian negeri di Amerika Syarikat (AS) masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah bagi kes membunuh.
“Kita perlu melihat kepada semua perkara dan ubahsuai mengikut kepercayaan, adat dan budaya kita sendiri yang sedia unik dan pelbagai. Mana yang baik dan sesuai kita contohi.
“Kita juga boleh mengikuti amalan di negara-negara lain selain Barat seperti Jepun, Singapura, India, China, Arab, Indonesia dan lain-lain asalkan bersesuian dengan keperluan, situasi, kepercayaan, budaya dan amalan kita,” katanya lagi.