Lebih 90 murid keracunan makanan, nasi lemak disyaki punca
KOTA KINABALU – Kesemua pelajar sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya dekat sini yang mengalami keracunan makanan, kelmarin mempunyai sejarah memakan nasi lemak.
Akibat kejadian itu, jumlah murid mengalami gejalan muntah, cirit-birit dan sakit perut telah meningkat daripada 90 kepada 103 orang setakat ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu telah menerima notifikasi kejadian keracunan makanan daripada klinik kesihatan dan hospital kerajaan, kelmarin.
“Sebanyak lapan kes telah dimasukkan ke wad manakala 95 kes lagi dirawat sebagai pesakit luar. Kesemua kes berumur antara enam hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil serta tiada kematian dilaporkan.
“Siasatan awal mendapati kesemua kes mempunyai sejarah memakan nasi lemak sekitar pukul 9.50 pagi pada 22 Julai lalu.
“Bagaimanapun, sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Buat masa ini, katanya, tindakan kawalan telah dilaksanakan termasuk memberi rawatan yang bersesuaian kepada semua murid tersebut.
“Ini termasuk menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD), pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta pengambilan sampel makanan, minuman, dan persekitaran bagi tujuan pengesahan punca kejadian.
“Keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Ia boleh disebabkan oleh bakteria atau toksin bakteria tersebut, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan yang beracun seperti cendawan dan hasilan laut seperti kerang,” katanya.
Sehubungan itu, Asits menasihatkan pihak sekolah supaya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas makanan yang dijual atau dibekalkan di kawasan sekolah.