Berita Semasa

Isu sumbangan sekolah, Menteri Pendidikan akan jawab – Fahmi

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan menjawab sendiri mengenai isu sekolah menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

“Rujuk Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek),” kata Fahmi ringkas ketika ditanya mengenai isu berkenaan.

Beliau kemudiannya menambah, isu berkenaan ada dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dan jelasnya, perkara berkenaan akan dijawab oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kami memutuskan Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjawab mengenai perkara ini.

“Jadi, sila hubungi KPM,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Ditanya bila kementerian akan menjelaskan perkara itu, Fahmi mengulangi jawapannya untuk pemberita menghubungi KPM.

“Saya serahkan kepada kementerian. Mereka sudah diberitahu untuk menjawab (soalan) ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan KPM sedang melakukan siasatan berhubung isu penganjuran program amal di sebuah sekolah membabitkan sumbangan syarikat minuman keras.

Menterinya, Fadhlina Sidek dipetik sebagai berkata, pentadbir institusi pendidikan di bawah KPM dinasihati mematuhi garis panduan dalam menguruskan sumbangan daripada pihak luar.

Isu itu dibangkitkan susulan tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat minuman keras.

Show More

Related Articles

Back to top button