2 maut, motosikal dinaiki 4 beranak tebabas langgar tiang
JERANTUT – Dua beranak maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM)18 Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran simpang Bukit Ketupat di sini semalam.
Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu mengorbankan seorang bapa bersama anak lelakinya yang berusia enam tahun, manakala isteri dan seorang lagi anak mereka cedera.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, mangsa dikenali Muhamad Isyam Abdullah Sani, 43, yang juga seorang tukang rumah dan anaknya, Muhammad Aisy Afnan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, isteri mangsa, Munirah Mahmood, 28, dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Umar Affan, 4 mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku semasa mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz bersama isterinya dan dua anak lelaki mereka dalam arah perjalanan dari rumah ibu mentua menghala balik ke rumah sewanya di Taman Bukit Ketupat.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa gagal dikawal dengan baik, terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.