Jasad mangsa kedua lemas di Pantai Batu Layar ditemukan 2km dari lokasi hilang
KOTA TINGGI – Pekerja kedai jual peralatan sukan, Haqim Abdul Rahim Lee, 20 yang dilaporkan hilang selepas dipukul ombak ketika mandi bersama rakannya di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, semalam, ditemui lemas, pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Mohammad Saifulizam Mohd Rofi berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut di batuan pantai.
Beliau berkata, pasukan penyelamat membuat pencarian lebih kurang dua kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Mangsa ditemui pada jarak satu kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilihat pada jam 7.45 pagi.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka sejak semalam untuk tugas mencari dan menyelamat (SAR) turut membabitkan PDRM Kota Tinggi, Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).
“Usaha SAR yang digunakan untuk mencari dua mangsa lemas oleh agensi penyelamat adalah dengan menggunakan kaedah pencarian di persisir pantai dan juga penggunaan drone.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Semalam jenazah salah seorang daripada dua rakan yang dilaporkan hilang ketika sedang mandi di Pantai Batu Layar ditemukan lemas.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemukan jam 3.19 petang.