Salah sebuah kapal terlibat kemalangan tinggalkan lokasi – Maritim Malaysia
TANJUNG SEDILI – Hari kedua operasi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi menyelamatkan kru dua kapal yang dilaporkan berlanggar kira-kira 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau semalam, berdepan kesukaran apabila salah sebuah daripada kapal terlibat dikesan telah meninggalkan kawasan pelanggaran.
Menurut Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama (Maritim) Zin Azman Mad Yunus, kapal berkenaan, MT Ceres 1 yang dipercayai masih berada dalam perairan negara, didapati menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS) miliknya.
“Maklumat dan semakan MRSC Johor Bahru bersama Jabatan Laut Malaysia turut mendapati nombor pendaftaran (IMO) kapal berkenaan meragukan dan tindakan kapal berkenaan meninggalkan kawasan insiden juga diragui.
“Maritim Malaysia kini dalam usaha menjejaki kapal berkenaan dengan mengatur gerak pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP Maritim Malaysia pada pukul 12 tengahari tadi bagi tujuan penyelamatan dan siasatan,” kata Zin Azman dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain menggerakkan aset ke sektor pencarian, Maritim Malaysia turut mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi bersiap sedia untuk menyelamat mangsa yang dipercayai masih berada di atas MT Ceres 1.
“Setakat ini, Maritim Malaysia tidak dapat memastikan keadaan sebenar kapal beserta kru MT CERES 1 memandangkan ianya tidak dapat dihubungi,” katanya lagi.
Zin Azman turut memberitahu, sebuah lagi kapal yang terlibat dalam kemalangan itu, MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura, terbakar dalam kemalangan itu.
Bagaimanapun, kesemua 22 anak kapal kapal berkenaan berjaya diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura, RSS Supreme yang turut bertindak selaku First Responder semalam, dan telah dibawa ke Singapura untuk mendapatkan rawatan.
Masuk hari kedua operasi, Maritim Malaysia telah menggerakkan kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan dan KM MUlia bagi menggantikan KM Niah ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi CARILAMAT.