Bacaan Qunut Nazilah ke atas sesama Islam boleh jerumuskan individu kepada perbuatan ekstrim, melampau dalam agama
PUTRAJAYA – Tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam sendiri.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan para sahabat serta pandangan para ulama, doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan golongan murtad sahaja.
“Doa Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar, sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda RAnhum.
“Selain daripada itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab, manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan Nasrani,” jelas artikel yang dikongsikan dalam hantaran tersebut.
Artikel tersebut turut menyebut, para ulama turut menyebut beberapa sebab lain dibolehkan membaca doa Qunut Nazilah, iaitu apabila umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit, serangan serangga dan seumpama.
“Oleh itu, perbuatan membaca doa Qunut Nazilah ke atas orang Islam, tidak kira ia menjadi musuh atau lawan sesama umat Islam, adalah tidak dibolehkan dalam apa jua keadaan.
“Apatah lagi jika hanya melibatkan perselisihan faham dan pandangan yang biasa dalam politik dan seumpamanya.
“Hal ini seharusnya dielakkan kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan yang ekstrim dan melampau dalam agama,” jelas artikel itu lagi.