Berita Semasa

Maktab PDRM dinaik taraf jadi hab penyelidikan bidang kepolisan

KUALA LUMPUR – Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur akan dinaik taraf menjadi hab penyelidikan meliputi semua aspek bidang kepolisan khususnya berkaitan keselamatan siber serta pencegahan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, usaha ini seiring dengan perkembangan teknologi dan kewujudan jenayah bentuk baharu dengan modus operandi yang semakin ke depan.

“Saya yakin, kolaborasi dengan ilmuan dari dalam dan luar negara mampu menyumbang kepada dapatan akademik yang memberi manfaat kepada pasukan dan masyarakat.

“Institusi Latihan PDRM juga adalah institusi yang bertanggungjawab dalam melahirkan generasi pegawai polis berketerampilan unggul,” katanya.

Razarudin berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Julai 2024 anjuran Jabatan Pengurusan di Kompleks Tiga Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau kemudiannya menambah, atas pentingnya peranan institusi ini, kajian pengukuhan perjawatan bagi pensyarah dan tenaga pengajar turut dilaksanakan dengan menitikberatkan kelayakan akademik mereka.

“Sebagai perintis, pengukuhan perjawatan tenaga pengajar sedang dilaksanakan di empat institusi latihan PDRM iaitu Maktab PDRM Kuala Lumpur, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu, Pulapol Kuala Lumpur dan Pulapol Bukit Sentosa.

“Semua calon tenaga pengajar yang berkhidmat di institusi ini mestilah mempunyai kelulusan akademik sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dan ke atas,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button