Kes keropok beracun: Pekebun yang ditahan reman dibebaskan dengan jaminan polis
KULIM – Seorang pekebun berusia 33 tahun yang ditahan reman untuk membantu siasatan kes kematian dua beradik akibat termakan keropok beracun, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, beliau memaklumkan suspek yang bekerja sebagai tukang kebun itu direman sejak 11 Julai sehingga semalam.
“Tempoh reman tidak akan dilanjutkan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kertas siasatan telah siap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan dua beradik, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus.
Dalam kejadian pada 7 Julai di sebuah kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, kedua-dua kanak-kanak tersebut dipercayai mengambil keropok tersebut yang digantung pada dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun untuk memerangkap monyet.
Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 10 Julai, manakala Muhammad Luth Syauqi meninggal dunia dua hari kemudian di hospital yang sama.
Jenazah dua beradik tersebut telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling.