Kerjasama industri halal Malaysia-China dijangka tarik pelaburan RM5 bilion
KUALA LUMPUR – Jalinan kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan pelabur China dijangka membawa masuk RM5 bilion nilai pelaburan ke dalam sektor industri halal di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah dipertemukan dengan pelabur-pelabur besar dari China yang menunjukkan minat untuk melabur di negara ini dan usaha ke arah itu sedang dilakukan.
Beliau berkata, sekiranya berjaya, peluang melalui kerjasama itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menempatkan syarikat-syarikat tempatan di taman-taman industri halal yang ada di dalam negara seperti di Pulau Pinang dan Sarawak.
“Untuk menggalakkan pelaburan masuk, saya telah didatangani pelabur dari China dan mereka bersedia untuk melabur kira-kira RM5 bilion.
“Saya akan berunding dengan mereka (China) untuk menempatkan syarikat-syarikat itu di Taman Halal Negeri supaya negeri-negeri dapat pengagihan yang saksama,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai infrastruktur Taman Industri Halal di negeri yang dilihat tidak dimanfaatkan sebaiknya serta langkah meyakinkan pelabur dalam industri halal.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, sehingga Julai tahun ini 9, 146 buah syarikat mendapat persijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM),
Dari jumlah itu 8,105 adalah syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), manakala 3,616 bersama 39.6 peratus adalah syarikat milik Bumiputera dan 5,270 adalah syarikat bukan Bumiputera.
Katanya, syarikat antarabangsa yang memiliki persijilan halal pula adalah sebanyak 1,041 syarikat.
Beliau berkata, walaupun ekosistem ekonomi halal di Malaysia agak memberangsangkan malah mendapat pengiktirafan dunia, penilaian semula perlu dilakukan bersesuaian dengan kehendak semasa.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk struktur industri halal yang melibatkan persijilan halal, pengurusan bakat halal, dasar halal negara, pelan pembangunan halal dan pelan pemasaran halal
Sehubungan itu, pelbagai usaha akan dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama Jakim, Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan kementerian serta agensi lain yang akan menjadi pendukung dalam industri itu.