Jenayah & Mahkamah

JSJN bongkar makmal dadah jenis kokain dalam dua serbuan berasingan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis kokain di sekitar Lembah Klang menerusi dua serbuan berasingan.

Pengarahnya, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua serbuan itu telah dijalankan pada 16 Julai lalu.

“Dalam serbuan pertama, kita berjaya menangkap dua individu. Seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 41 tahun yang merupakan seorang ‘runner’.

“Seorang lagi merupakan wanita tempatan berbangsa Cina berusia 41 tahun juga merupakan penyimpan stok dadah,” katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, petang tadi.

Sementara itu, polis menerusi serbuan kedua pula berjaya menahan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 38 tahun yang merupakan pembekal dadah terbabit.

Melalui dua operasi itu, JSJN berjaya merampas sejumlah 44.93 kilogram dadah kokain dengan anggaran bernilai RM9 juta.

Operasi serbuan itu turut merampas 52.5 liter cecair kimia dan satu kilogram serbuk kimia yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis kokain.

Kata Kok Chin, modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kediaman (pangsapuri) sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran luar negara menggunakan pengangkutan udara.

Sehubungan itu, tiga individu terbabit ditahan reman bermula semalam sehingga 20 dan 23 Julai depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Show More

Related Articles

Back to top button