Jenayah & Mahkamah

Polis tahan lelaki dipercayai tolak isteri ke dalam gaung

GERIK – Seorang lelaki ditahan setelah dipercayai cuba membunuh isterinya dengan cara menolak mangsa hingga jatuh ke dalam gaung berhampiran kilometer 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt. Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat menegenai kejadian pada pukul 2 petang hari yang sama melalui panggilan telefon oleh orang awam yang menemui mangsa berusia 32 tahun yang mengalami kecederaan.

Siasatan awal mendapati, ketika kejadian suspek yang berusia 39 tahun dipercayai membawa mangsa pulang ke kampung pada petang Jumaat lepas.

Bagaimanapun, sepanjang perjalanan itu, dipercayai berlakunya pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari selain diugut bunuh oleh suaminya itu.

“Sepanjang perjalanan, pertengkaran mulut berlaku antara mereka. Apabila sudah malam setibanya di suatu tempat, suspek memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau.

“Namun mangsa merayu sebelum pertengkaran berlaku di dalam kereta itu sambil suspek mencekik leher mangsa.

“Mangsa kemudiannya bertindak terjun daripada kereta tetapi suspek memasukkan isterinya itu semula ke dalam kereta dan terus memecut kereta sehingga tiba di kawasan KM 31.2 JRTB kira-kira jam antara 4 hingga 5 pagi. Setibanya di kawasan itu, berlaku lagi pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek kemudiannya menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan. Suspek kemudiannya bertindak menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudiannya bertindak menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum dijumpai oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan dan kini mangsa menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya.

Kata Zulkifli lagi, suspek ditangkap semalam oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, kerana terdapat pembabitan suspek dalam kes yang berlaku di daerah pentadbiran IPD berkenaan.

“Suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.

“Sejurus siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh pihak IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan kes cubaan membunuh ini,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button