Berita Semasa

MCMC siasat dua suspek hantar komen jelik di TikTok

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyiasat dua suspek selepas disyaki menghantar komen jelik dan bersifat provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di TikTok pada 9 Julai lalu.

Menurut MCMC, sesi rakaman percakapan terhadap kedua-dua suspek telah dijalankan semalam setelah aduan diterima daripada orang awam.

“Dalam operasi yang dijalankan, kad sim dan telefon pintar milik kedua-dua suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seksyen tersebut melarang penghantaran komunikasi yang bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

Dalam pada itu, suspek boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan bersalah.

Tegas MCMC, pihaknya memandang serius terhadap perbuatan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komen yang bertentangan dengan undang-undang negara,” ujarnya.

Terdahulu, MCMC telah menyerahkan notis kehadiran kepada kedua-dua suspek terbabit mengikut prosedur yang ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button