Jenayah & Mahkamah

Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek direman hari ini

HULU SELANGOR – Seorang penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, akan direman pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, memetik laporan Berita Harian.

“Suspek direman jam 9 pagi esok,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Asri memaklumkan proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh malam ini.

“Kita menunggu siasatan forensik selesai. Malam ini dijangka (bedah siasat) namun tidak pasti jam berapa akan selesai,” katanya.

Media hari ini melaporkan suspek berusia 26 tahun ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada 6 petang hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.

Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

Show More

Related Articles

Back to top button