Berita Semasa

Beberapa kementerian akan bincang perketat undang-undang buli siber – Fahmi

PUTRAJAYA – Beberapa kementerian akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dalam usaha memperketatkan undang-undang berkaitan buli siber, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, perbincangan tersebut akan menekankan mengenai aspek perundangan yang boleh ditambah baik oleh pihak kerajaan terhadap kesalahan buli siber.

Jelas Fahmi, pihaknya tidak menafikan terdapat keperluan untuk memperketatkan undang-undang sedia ada, bukan sahaja dari segi takrifan definisi buli siber, tetapi juga dari segi denda atau hukuman yang boleh dikenakan.

“Berikan saya sedikit masa untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku, tetapi secara prinsipnya memang di peringkat Jemaah Menteri, tiga empat orang menteri telah bersetuju dan kita akan duduk bersama meneliti aspek perundangan yang perlu kita tambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Persidangan Etika dan Tanggungjawab Komunikasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, isu undang-undang siber itu telah mendapat perhatian beberapa menteri termasuklah Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ujar Fahmi, Azalina telah memaklumkan kepada beliab bahawa terdapat beberapa kanun keseksaan boleh dipinda segera.

“Saya percaya ini yang beliau sedang usahakan. Kita lihat banyak daripada aktiviti jenayah ataupun yang melanggar undang-undang, iklan judi dalam talian, kejadian scam dalam platform-platform media sosial, dan macam-macam lagi.

“Seolah-olah tidak dipandang serius oleh platform-platform, maka kita perlukan undang-undang khusus untuk memastikan platform media sosial juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku dalam platform masing-masing,” katanya.

Terdahulu, pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau Esha, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Show More

Related Articles

Back to top button