Abang akui Nur Farah Kartini jarang kongsi masalah
SUNGAI BULOH -Abang kepada mangsa bunuh Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah mengakui adiknya seorang yang agak berahsia kerana jarang bertemu dan berkongsi masalah dengannya.
Mohd Farriza Azmi, 28, berkata, bagaimanapun dia tidak menyangka berita kehilangan adiknya itu berakhir dengan sesuatu yang amat menyedihkan seluruh ahli keluarga.
Katanya, arwah sangat jarang berkongsi masalah dengannya walaupun sama-sama tinggal di Selangor, namun mengakui mempunyai hubungan yang baik.
“Dia tidak pernah nampak ada masalah sebelum ini.
“Dia kalau ada apa-apa masalah pun dia tak pernah cerita pada saya.
“Jadi saya tak tahu perangai dia macam mana sebenarnya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh hari ini.
Ditanya sama ada Nur Farah Kartini mempunyai kenalan lelaki, Mohd Farriza berkata dia tidak pernah tahu mengenai perkara itu.
“Pasal itu (kenalan lelaki) saya tak tahu apa-apa.
“Saya sebenarnya tidak tahu apa status hubungan arwah adik, Nur Farah dengan suspek yang ditahan pihak polis,” katanya yang sudah berkahwin dan tinggal di Seri Kembangan.
Sementara itu, kakak ipar mangsa, Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan forensik daripada pihak polis berhubung kes berkenaan.