Penonton rempuh masuk stadium, perlawanan akhir Copa America ditangguhkan seketika
MIAMI – Perlawanan akhir Copa America membabitkan Argentina dan Colombia pagi ini terpaksa ditangguhkan hampir sejam susulan berlaku rusuhan di pintu masuk Stadium Hard Rock di sini.
Menurut Hard Rock dalam satu kenyataan, kekacauan itu berlaku selepas penonton tanpa tiket turut berasak-asak untuk memasuki Stadium Hard Rock bagi menyaksikan perlawanan akhir itu.
Difahamkan dalam kejadian itu, terdapat penonton yang turut cedera.
Pihak pengawal keselamatan ketika ini sedang berusaha untuk menyuraikan keadaan dan membenarkan pemegang tiket untuk masuk ke dalam stadium.
“Beribu-ribu peminat bola sepak tanpa tiket cuba memasuki stadium sehingga menyebabkan peminat dan pegawai penguatkuasa serta pengawal keselamatan berada dalam keadaan berisiko.
“Pihak keselamatan telah menutup pintu masuk dan mengawal keadaan bagi memastikan semua selamat,” katanya dalam laman X hari ini.
Susulan itu katanya, waktu sepak mula perlawanan itu terpaksa ditunda hingga dimaklumkan kelak.