Bayi 16 bulan melecur terkena seterika wap
PETALING JAYA – Seorang bayi perempuan berusia 16 bulan melecur selepas terkena seterika wap pada bahagian belakang badan di sebuah kediaman di Ara Damansara, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, mangsa ketika itu sedang bermain dengan sepupunya yang berusia setahun di rumah.
Katanya, mangsa telah diusik oleh sepupunya sehingga menangis manakala kakak sepupunya berusia 11 tahun pula sedang menggosok baju menggunakan seterika jenis wap air ketika itu.
“Kakak sepupunya kemudian memujuk mangsa dengan memeluknya sambil memegang seterika kerana bimbang terjatuh.
“Adiknya datang dan seterika terkena pada bahagian belakang badan mangsa,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Dalam pada itu, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan kini berada dalam keadaan yang baik.
Jelas beliau, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan lima penghuni rumah sudah dirakam percakapan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001