SPRM dapat kebenaran sambung reman suami isteri pempengaruh, dua lagi
Isu seleweng dana sumbangan awam
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat kebenaran untuk menyambung reman empat individu termasuk pasangan suami isteri pempengaruh yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana sumbangan awam.
Perintah sambung reman selama tiga hari hingga Selasa ini dikeluarkan Majistret Siti Zahirah Zaidon, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Ini berikutan tempoh asal reman kesemua suspek tamat pada hari ini.
Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan kesemua suspek kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Laporan media sebelum ini menyebut, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan antara pukul 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul.
“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih diperingkat awal dan pada masa yang sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.