Mangsa kemalangan dirempuh kayu balak akan dibedah bagi buang organ yang rosak
KOTA BHARU – Mangsa wanita, Siti Norelyana Kamaruzaman, yang cedera parah akibat dirempuh kayu balak yang tergolek dari lori pengangkut Selasa lalu, akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat bagi membuang beberapa organ dalamannya yang rosak teruk.
Perkara itu dimaklumkan oleh kakak mangsa, Ujiriah Kamaruzaman, 41, kepada BH Online, hari ini.
Menurut Ujiriah, adiknya yang berusia 21 tahun kini berada dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Doktor memaklumkan akan melakukan pembedahan membuang buah pinggangnya yang rosak sebelah, tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.
“Namun, setakat ini doktor perlu menunggu sehingga keadaan adik baik sebelum menjalani pembedahan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dia menambah, mereka sekeluarga turut memohon orang ramai mendoakan Siti Norelyana supaya kembali sihat.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, Siti Norelyana yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya, cedera parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, penyambung pada lori pengangkut balak itu patah ketika melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum merempuh mangsa yang kebetulan berada di situ.