Pendapat

Keputusan Speaker Parlimen tidak boleh dicabar, BERSATU ada 3 remedi

ADAKAH game over isu melibatkan enam kerusi Ahli Parlimen BERSATU? Saya ulang, Adakah game is over? Jawapannya, ya.

Apabila Speaker Dewan Rakyat dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada lewat petang 11 Julai lalu mempertahankan keputusannya bahawa enam kerusi itu tidak perlu dikosongkan maka keputusan Speaker itu muktamad.

Apakah Speaker telah membuat keputusan Yang betul dari sudut undang-undang Perlembagaan? Jawapannya ada dua. Mungkin betul atau mungkin tidak. Tafsiran undang-undang kadang kadang seperti kita melihat wang syiling. Depan wajah lain dan belakang wajah lain.

SPEAKER KHILAF TETAPI TIDAK BOLEH DICABAR

Apa pendapat saya? Jawapan saya dari segi undang-undang perlembagaan keputusan Speaker itu silap. Dalam bahasa yang lebih sopan bahawa Speaker telah khilaf dalam membuat keputusannya.

Adakah pandangan seperti saya ini relevan? Jawapannya sudah tidak lagi relevan. Kenapa?
Kerana sudah jadi akademik.

Kenapa saya berkata begitu? Saya boleh tulis satu hujahan undang-undang yang lengkap seperti menyiapkan satu tesis PhD untuk menyatakan keputusan Speaker itu khilaf tetapi tidak ada kesan positif dari segi proses perundangan.

Kenapa saya berkata begitu? Sebab keputusan Speaker yang dibuat dalam prosiding Dewan Rakyat, walaupun khilaf tidak boleh dicabar atau dibicarakan di Mahkamah. Ini dinyatakan dalam Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak keistimewaan kepada Parlimen.

5 daripada 6 Ahli Parlimen BERSATU yang membuat keputusan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adakah saya bersetuju dengan peruntukan Perkara 63(1)? Soal sama ada saya setuju atau tidak adalah tidak relevan sama sekali.Semua pihak termasuk saya kena terima hakikat bahawa sistem demokrasi di negara kita Malaysia mengamalkan doktrin pengasingan kuasa atau separation of powers.

Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan adalah contoh punca kuasa bagi sistem pengasingan kuasa beroperasi di negara kita. Jadi adakah tidak ada jalan lain atau apa apa remedi kepada parti BERSATU sebagai pihak yang terkesan dalam isu ini?

REMEDI

Ada dua atau tiga remedi kepada parti BERSATU atau rakyat secara umum yang tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker.

Apa remedi itu? Pertama, BERSATU boleh merujuk ke mahkamah untuk mencabar keputusan Speaker.
Adakah boleh menang? Jawapannya uphill battle. Agak susah untuk berjaya kerana wujudnya Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan tetapi tidak rugi untuk mencuba. Mahkamah adalah benteng terakhir untuk rakyat mendapatkan keadilan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

Apakah remedi kedua? Ada terbaca bahawa BERSATU akan mengadakan protes jalanan sebagai tanda bantahan. Adakah hal ini dibenarkan? Jawapannya ya. Malaysia sebuah negara demokrasi.

Di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dijamin hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun. Negara kita memperuntukan Akta Perhimpunan Aman 2012. Maka boleh berhimpun syaratnya aman, beri notis pemberitahuan kepada polis.

Jangan bawa senjata. Jangan berhimpun di kawasan yang tidak dibenarkan misalnya di setesen minyak. Jika semua dipatuhi maka berhimpunlah dengan aman. Pihak polis akan membantu sebagai pemudahcara atau facilitator. Jangan takut, gunakanlah hak anda sebagai rakyat di sebuah negara Malaysia yang demokrasi.

Tetapi apa remedi lain bagi parti BERSATU atau rakyat secara umum jika di mahkamah kalah dan perhimpunan aman pun tak akan mengubah keputusan Speaker? Jawapan saya masih ada remedi itu. Jika rakyat kalah di mahkamah biasa maka rakyat ada hak di mahkamah milik rakyat sendiri.

Apa maksud saya? Jawapannya ialah Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang. Di situlah mahkamah milik rakyat sebenarnya.

HASSAN ABDUL KARIM merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia Tribune

Show More

Related Articles

Back to top button