Kerajaan masih teliti subsidi dan bantuan kepada rakyat termasuk RON95
KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi memaklumkan, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi serta bantuan diberikan kepada rakyat, termasuk berkait petrol RON95.
Jelas kementerian itu, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan diperincikan dari semua aspek supaya inisiatif terbabit dapat berjalan lancar dan meningkatkan keberkesanan pengagihan bantuan kepada rakyat.
“Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95.
“Bagaimanapun buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, semalam.
Dalam pada itu, Kementerian Ekonomi berkata, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan juga akan diadakan bagi memastikan setiap aspek diambil kira, termasuk garis masa pelaksanaan dan mekanisme bersesuaian untuk membolehkan rakyat yang terkesan, menerima manfaat yang sewajarnya.
Kementerian Ekonomi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertanyakan mengenai mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, termasuk garis masa pelaksanaan, implikasi kewangan yang terbabit serta pendekatan.
Jelas kementerian itu lagi, kerajaan juga telah merancang beberapa inisiatif bagi memastikan kuasa beli rakyat dapat dikekalkan.
“Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempergiat usaha untuk menangani kos sara hidup supaya kuasa beli serta kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” ujarnya.