Luar NegaraSukan

Ketua jurulatih pasukan bola sepak AS dipecat

FLORIDA – Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat (USSF) kelmarin mengumumkan pemecatan ketua jurulatih Pasukan Bola Sepak Lelaki Amerika Syarikat, Gregg Berhalter.

Pemecatan Berhalter selepas lima setengah musim itu berlaku selepas kekalahan memalukan pasukan negara itu pada peringkat kumpulan Copa America 2024 yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Sukan USSF, Matt Crocker berkata, beliau mewakili semua pihak yang berkenaan berterima kasih kepada Berhalter di atas komitmennya selama lima tahun kepada Pasukan Kebangsaan Lelaki dan kepada Bola Sepak Amerika Syarikat.

“Berhalter telah memperoleh penghormatan dalam organisasi kami dan memainkan peranan yang penting dalam menyatukan pasukan muda dan memajukan program ini.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam usaha masa depannya dan yakin dia akan berjaya dalam posisi kejurulatihan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pasukan Kebangsaan Lelaki AS kini akan mempunyai jurulatih baru menjelang Piala Dunia 2026 yang akan dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada.

Crocker berkata, USSF telah mula mencari jurulatih baharu dan telah menyenaraikan pengganti berpotensi termasuk bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp; Pengurus TSG Hoffenheim, Pellegrino Matarazzo, bekas pengurus Norwich, David Wagner; bekas jurulatih El Salvador, Hugo Perez, dan bekas bintang Arsenal dan Red Bulls, Thierry Henry.

“Klopp akan menjadi pilihan utama buat pasukan ini selepas mengambil kira pengalaman beliau memimpin Liverpool meraih gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara dalam sembilan musim,” katanya lagi.

Berhalter memimpin pasukan USSF pada Disember 2018, satu tahun selepas Pasukan Kebangsaan Lelaki Amerika Syarikat gagal layak ke Piala Dunia 2018.

Sebagai bekas pemain Pasukan Kebangsaan Lelaki Amerika Syarikat sendiri, Berhalter sebagai pengurus telah memenangi dua kejuaraan benua gelaran Liga Negara pada 2021 dan Piala Emas CONCACAF 2021, kedua-duanya mengalahkan Mexico dalam perlawanan akhir.

Pasukannya layak ke Piala Dunia 2022, yang mana pasukan tersebut mara ke Pusingan 16 sebelum tewas kepada Belanda.

Kontrak Berhalter yang tamat selepas Piala Dunia pada Disember 2022 diteruskan selepas pasukan gagal menemui pengganti.

Dalam kejohanan besar pertamanya selepas dilantik semula, Pasukan Kebangsaan Lelaki Amerika Syarikat mengalami kegagalan.

Selepas menewaskan Bolivia dalam perlawanan pembukaan, pasukan itu tewas kepada Panama dan Uruguay sekaligus menjadi tuan rumah pertama dalam sejarah kejohanan yang tersingkir di peringkat kumpulan.

Show More

Related Articles

Back to top button